Cerita Saya

By | February 23, 2012 at 3:10 am | No comments | Beliawanis, Cetusan Kreatif

Emel beberapa hari yang lalu menyapa jauh ke dalam taman hati saya.  Khabar yang dinanti-nanti,  sarat penuh erti buat empunya diri.  Dalam tenggelamnya saya dengan macam-macam tuntutan kehidupan, hadirnya seperti angin lembut menyapa diri,  memberikan kerehatan sebentar dari hiruk- pikuk yang tidak terperi.  Subhanallah nyamannya ya Allah.

Mungkin kami di tempat yang berbeza,  cara kerja yang tidak serupa,  sedikit sebanyak mungkin tidak sama cara perjalanannya tapi sungguh kami menuju ke satu arah yang sama.  Jalan yang sememangnya tidak menjanjikan apa-apa,  tidak senang, susah sentiasa, penuh dengan air mata,  sarat dengan ujian buat jiwa yang telah berikrar setia.  Kadangkala tertarik, kadangkala ditarik.  Namun semuanya akan diharungi dengan jiwa perkasa di bawah izin Yang Maha Esa.

Tunduk hati ini padamu Ya Allah apabila mengenangkan kembali kisah klasik yang tak mungkin akan padam daripada ingatan saya. Tidak mungkin semua ini terjadi tanpa izinmu Ya Allah.  Sunguh,  tidak ada satu pun urusan hidup saya yang datang dari hasil usaha diri kerdil ini.  Duduk bersimpuh saya mengimbau kembali porak peranda yang pernah melanda jiwa.

Gembira dahulu bukanlah yang diidamkan saya.  Gembira itu hanyalah tipu belaka.  Gembira yang menyeksa kerana hati ingkar padamu Ya Allah.  Senyum dahulu itu palsu kerana ia langsung tidak membuahkan ketenangan qalbu.  Gelak tawa yang hanya menutup segala sengsara dari hati yang parah terseksa.  Belaian jiwa yang tidak membawa ke mana, hanyut dalam angan-angan yang dihias bisikan syaitan durjana.

Hadirnya dalam episod pencarian saya seperti terjumpanya air oleh si musafir yang dahaga di padang pasir yang terik.  Kenyamanan terasa hingga kini.  Walaupun sekarang  wajahnya tidak di depan mata, namun baris-baris kata sudah cukup buat pengganti, penguat untuk tetap berdiri.

Tiada siapa yang mahu memandang diri kerdil ini dahulu.  Potensi dalam diri terkubur dengan balutan jahiliyah yang menyiksakan.  Hadir insan ini dalam hidup saya telah banyak menerangkan malam dalam taman hati saya.  Yang samar tampak makin terang.  Siraman cahaya ketelusan insan istimewa ini cukup menyegarkan bunga-bunga dalam taman hati saya.  Malam sudah pergi, siang dinanti-nanti.

Sabarnya cukup tinggi.  Gigihnya dia dalam membaja.  Dicantasnya daun yang rosak, dibuang ranting yang layu,  dijaga rapi tunas yang baru,  dipelihara sinarnya mentari supaya terjaga putik bunga yang baru.  Tidak terlalu terik,  tidak terlalu gelap.  Air disiram mengikut kadarnya.  Tanpa saya sedar, semakin hari semakin hijau taman hati saya.  Saya suka. Saya gembira.  Inilah yang saya cari selama ini.  Inilah yang dinanti-nanti.  Terima kasih ya Allah.

Image courtesy: http://titipan-si-anggerik.blogspot.com/2008/12/taman-taman-syurga.html

 Mungkin masa gembira tidak boleh lama.  Banyak lagi taman lain yang menagih hasil tangannya. Ketetapan di mana-mana.  Yang berkunjung tiba pasti berundur jua.  Saya berdoa supaya taman saya kekal subur menghijau,  indah di pandangan mata kerana itulah harapan saya dan dia bahkan amanah dari Yang Maha Kuasa

Moga saya mampu pula menghijaukan taman-taman lain dalam episod kehidupan dunia.  Risaunya saya lihat taman-taman layu itu.  Tuannya mungkin tidak sedar atau mungkin tidak ambil peduli.  Kasihan saya lihat taman dia.  Saya kena cuba.  Kudrat perlu ada,  sabar itu wajib,  susah itu biasa,  kuatlah jiwa.

Inilah cerita saya dan dia.  Cerita kamu bagaimana?  Untuk si dia, murabbi saya,  moga baik-baik sahaja.  Ya, saya sedang bekerja.  Memulihara hati-hati yang dahagakan iman dan takwa.  Doakan saya tetap tsabat di mana jua.  Angin kuat pasti melanda.  Moga akarnya mampu bertahan hingga ke akhirnya.

Image courtesy: http://lakaranilham.blogspot.com/2010/10/taman-taman-syurga.html

Marilah sekalian umat belia.Hiduplah penuh makna. Hiduplah penuh ‘izzah. Hiduplah sebaik-baiknya kerana hidup itu hanya sekali. Moga HIDUP ini memberikan yang terbaik untuk saya dan juga untuk semua dalam kita menuju ke taman-taman syurga.

 Tetap hambaMu di mana jua

Sakinah~

 

Zaireen Zainuddin

Ketua Beliawanis PEMBINA SA

Comments